SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN
SEK. MEN. UGAMA ( ARAB ) NURUL ITTIFAK
Kampung Nering , Pasir Puteh , Kelantan .
Ó…Î … Ó…Î … Ó…Î … Ó…Î … Ó…Î … Ó…Î … Ó…Î
Kampung Nering adalah sebuah kampung yang terletak di daerah Jeram, jajahan Pasir Puteh, Kelantan. Jaraknya dari bandar Pasir Puteh ialah 3.6km. Hampir 90% penduduk kampung ini bekerja sebagai petani.
Tahun 1956 merupakan tarikh yang cukup bersejarah bagi pendidikan agama di Kampung Nering ini. Cetusan idea tiga sahabat iaitu Haji Raja Maidin bin Raja Omar, Haji Mohamed Hasbullah bin Haji Ismail ( Allahyarham ) dan isterinya Hajjah Siti Minah bte Yaacob menjadi titik mula bagi perkembangan pendidikan agama di sini dan kampung-kampung lain yang berdekatan.
Idea ke arah penubuhan pusat pendidikan seumpama ini lahir setelah mereka dan penduduk kampung yang lain melihat betapa anak-anak mereka perlu diberikan pendedahan dan pengajaran berhubung pendidikan agama yang secukupnya di samping pendidikan akademik yang mereka pelajari di sekolah kebangsaan biasa.
Pengajian pada peringkat awal dijalankan di rumah Haji Mohamed Hasbullah bin Haji Ismail dan ianya berterusan di situ selama satu tahun. Kemudian pusat pengajian dipindahkan ke balaisah berhampiran setelah bilangan pelajar semakin ramai dan meningkat dari masa ke semasa.
Usaha senantiasa dibuat bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada para pelaja. Hasil kegigihan mereka, di samping sumbangan kayu kayan, tiang, kerjasama serta pembinaan secara gotong-royong penduduk kampung maka terbinalah sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdindingkan kayu beratapkan rumbia. Bersempena dengan kerjasama dan muafakat ibubapa dan masyarakat kampung maka sekolah ini telah diberi nama “ Madrasah Nurul Ittifak ”yang bererti “ Cahaya Perkongsian / Permuafakatan ” .
Pengajian dijalankan pada waktu petang dengan mengambil pakai sukatan pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan ( MUIK ) untuk peringkat I’dadi dan Ibtid’ie iaitu bermula dari darjah 1 hingga darjah 5 sehinggalah tahun 1970.
Pada tahun 1971, peringkat pengajian telah diubah kepada peringkat Menengah Ugama Arab yang bermula dariTingkatan Peralihan hinggalah Tingkatan 3 . Sesi pengajian juga turut diubah daripada sesi petang kepada sesi pagi.
Bagi menampung bilangan pelajar yang sentiasa bertambah maka Jawatankuasa Pengurusan Sekolah ini telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Majlis Minum Teh bertujuan mendapatkan derma daripada orang ramai bagi membeli sebidang tanah seluas 0.192 hektar untuk dijadikan tapak bangunan sekolah yang baru.
Pada tahun 1974, pentadbiran sekolah ini telah diambil alih oleh Jabatan Sekolah-sekolah Agama Rakyat ( JASA ) Negeri Kelantan yang kini dikenali sebagai Yayasan Islam Kelantan ( YIK ).
Bangunan sekolah yang baru telah siap dibina dan beroperasi secara rasminya setelah dirasmikan oleh YAB Dato’ Haji Muhammad bin Nasir ( Menteri Besar Kelantan pada ketika itu ) pada hari Selasa 20 Rabiul Awwal 1395 bersamaan 1hb. April 1975 dengan bilangan pelajar seramai 100 orang, 7 orang tenaga pengajar . Tenaga pengajar pada masa itu diberi imbuhan hasil kutipan yuran daripada setiap pelajar sebanyak 50 sen seorang setiap bulan. Pada tahun yang sama sekolah ini telah didaftarkan di bawah Majlis Ugama Islam Kelantan
( MUIK ).
Pasang surut kemasukan pelajar ke sekolah ini berlaku setiap masa ekoran daripada persaingan hebat dengan sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan yang lain .
Namun begitu, berkat daya usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh pihak Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah, Guru Besar, Guru-guru serta masyarakat setempat, maka Alhamdulillah sekolah ini terus dikunjungi dan mampu beroperasi hingga ke hari ini.
Pada 12hb. OGOS 2008 yang lalu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mendaftar 20 buah Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan termasuklah SMU (A) Nurul Ittifak. Pendaftaran ini membolehkan sekolah ini mendapat bantuan pembangunan , penyelenggaran dan pembiayaan daripada pihak Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Termasuklah menyediakan infrastruktur yang lebih kondusif untuk para pelajar dari segi prasarana yang lebih selesa dan juga bantuan guru, buku teks dan sebagainya. Penekanan juga diberikan kepada pendedahan yang lebih bersepadu ke arah pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik tanpa meminggirkan matapelajaran Agama dan Bahasa Arab .
Generasi pelajar yang dididik lebih kurang 3 tahun di sini, berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi sama ada di sekolah saluran yang ditetapkan iaitu Maahad Saniah, Pasir Puteh dan sekolah-sekolah agama yang lain seperti Maahad Muhammadi ( Lelaki ), Maahad Muhammadi ( Perempuan ) dan sebagainya.
Walaupun serba kekurangan terutamanya dari sudut fizikal sekolah namun sekolah ini telah berjaya membantu para pelajarnya menjejak kaki ke puncak menara gading seterusnya menjawat pelbagai jawatan yang penting sama ada di jabatan-jabatan Kerajaan mahupun swasta.
Semoga doa dan kerjasama semua pihak menjadi pemangkin kepada Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) Nurul Ittifak ini untuk terus maju dan unggul ke arah melahirkan generasi pelajar yang berwibawa, berpendidikan, berakhlak unggul dan seterusnya menjadi pelapis kepada pemimpin masyarakat dan negara masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment